Dr. Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir di bawah tajuk dengan apa insan masuk ke dalam Islam menyebut:
Hakikat atau kaedah yang pertama: Bahawa insan masuk ke dalam agama Islam dengan dua kalimah syahadah, Syahadah “Tidak ada TUHAN melainkan Allah, dan Muhammad itu adalah Rasulullah.” Maka siapa yang memperakui dua kalimah syahadah dengan lisannya, maka sesungguhnya dia telah masuk Islam, dan terlaksana atasnya hukum-hakam orang-orang muslim, walaupun hatinya masih kafir. Ini kerana kita disuruh untuk berhukum berdasarkan zahirnya dan kita serahkan kepada Allah perkara-perkara yang tersembunyi.” Beliau menyambung:
“Bahawa Nabi saw menerima islam sesiapa yang memperakui dua kalimah syahadah, dan baginda tidak menunggu sehingga masukya waktu solat, atau zakat atau bulan Ramadhan sebagai contoh, sehingga orang itu melaksanakan kefardhuan-kefardhuan tersebut, kemudian barulah dia dihukum sebagai Islam, sebaliknya memadai dia beriman dengan kefarduan-kefarduan tersebut, dan tidak zahir daripadanya keingkarannya (terhadap kefarduan-kefarduan tersebut).” (Zahirah al-Ghuluw fi al-Takfir, m.s. 31-32)
Di zaman Nabi saw, terdapat berbagai orang yang datang menyatakan keinginan mereka memeluk Islam, sebahagiannya dengan tujuan yang berbagai, namun baginda saw tidak pernah bertanya apakah mereka ingin memeluk Islam kerana Allah atau kerana tujuan-tujuan yang lain? Jauh sekali dari baginda meletakkan syarat untuk menerima keislaman mereka.
Ibn Rajab al-Hambali di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam berkata: “Tidak pernah Nabi saw meletakkan syarat terhadap orang yang datang kepadanya untuk mereka beriltizam dengan solat dan zakat.”
Sesiapa yang memerhatikan sunnah Nabi saw, ia akan melihat betapa baginda menerima sesiapa sahaja yang datang kepada baginda menyatakan hasrat memeluk Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah sahaja. Dengan dua kalimah ini, terpelihara darah dan harta mereka.
Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairahr.a sabda Nabi saw yang bermaksud: “Aku di suruh untuk memerangi manusia, sehinggalah mereka mengucapkan “Laailahaillallaah”, apabila mereka mengucapkannya, maka sesungguhnya telah terselamat darah dan harta mereka, melainkan dengan haknya, dan perhitungan mereka terserah kepada Allah.”
Di dalam riwayat al-Imam Muslim Nabi saw bersabda: “Sehinggalah mereka bersaksikan bahawa tidak ada ilah melainkan Allah dan mereka beriman denganku dan dengan apa yang aku bawa.”
Di dalam sahih al-Bukhari dari Anas secara marfu’ disebut: “Sehinggalah mereka menyaksikan tidak ada ilah melainkan Allah dan Muhammad itu hambaNya dan RasulNya.”
Hadith-hadith ini menjadi bukti yang jelas, dengan mengucap kalimah tauhid seseorang itu dikira telah memeluk Islam kerana darah dan harta mereka dikira telah terpelihara. Terpeliharanya darah dan harta mereka menunjukkan mereka dikira sebagai Islam, kerana jaminan terpelihara darah dan harta hanya ada bagi orang Islam atau yang bukan Islam yang tidak memerangi orang Islam atau yang berada dibawah perjanjian dan perlindungan.
SYAHADAH
AKU BERSAKSI TIADA TUHAN SELAIN ALLAH
DAN NABI MUHAMMAD SAW ADALAH SALAH SEORANG UTUSAN ALLAH

No comments:
Post a Comment