APA ITU IBADAH QURBAN?
Ibadah ini boleh dibahagikan kepada dua. Iaitu qurban wajib dan sunat.
• Qurban wajib adalah ibadah qurban yang bernazar.
• Manakala ibadah qurban sunat adalah sunat muakkad, sunat yang dituntut.
Ibadah ini merupakan penyembelihan binatang ternakan untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala pada Hari Raya Haji dan tiga Hari Tasyri’.
SYARAT SAH SEMBELIHAN
Untuk ibadah qurban anda menjadi sah, anda perlu mengambil kira binatang yang anda ingin korbankan.
SYARAT UMUR BINATANG UNTUK DIJADIKAN KORBAN SECARA SAH
- Unta – berumur 5 tahun masuk ke 6 tahun
- Lembu/kerbau/kambing – 2 tahun masuk ke 3 tahun
- Biri-biri/kibas – Setahun masuk kedua atau gigi hadapan sudah bersalin walaupun belum cukup umur TETAPI melebihi 6 bulan.
BINATANG YANG TAK BOLEH DIJADIKAN IBADAH QURBAN
Binatang yang mempunyai kecacatan seperti:
- Tidak bertelinga atau terpotong telinga walau sedikit
- Ekor dan lidahnya terpotong
- Binatang yang kurus dan kurang dagingnya
- Berkudis kerana dagingya mungkin rosak
- Buta mata, tempang
- Bunting
Penyembelihan perlulah dilakukan oleh orang Islam. Orang yang berkongsi qurban lembu dan unta tidak boleh lebih daripada tujuh orang di mana seorang menyumbangkan 1/7 bahagian.
FADHILAT IBADAH QURBAN
- Menebus dosa kecil
- Mendapat kebajikan (hasanah) bagi setiap bulu binatang Korban.
- Kedudukan mulia di sisi Allah Ta’ala
- Membentuk peribadi ikhlas, sabra, qana’ah (bersyukur), belas kasihan dan tolong menolong.
- Menyembuh penyakit rohani dan sosial.
Siapa Yang Perlu Melakukan Ibadah Korban?
Golongan yang mempunyai lebihan harta sebanyak nilaian harga binatang qurban daripada keperluan dan keperluan orang di bawah tanggungannya. Pada Hari Raya Korban dan hari-hari Tasryi’.
SIAPAKAH YANG DITUNTUT UNTUK BERKORBAN?
- Islam
- Merdeka
- Aqil Baligh
- Bermukim atau bermusafir
- Berkemampuan
WAKTU UNTUK MELAKSANAKAN QURBAN
Setelah selesai sembahyang hari Raya dan bacaan khutbah iaitu matahari naik sekadar segalah. Masa berterusan siang dan malam sehingga Hari Tasyri’ yang akhir atau sebelum terbenam matahari pada hari itu.
LAFAZ NIAT KORBAN
Tiada lafaz khusus untuk niat korban, dan boleh sekadar diniatkan dalam hati.
Sebagai contoh “Sahaja aku melakukan qurban sunat, kerana Allah Ta’ala.”
Lain pula niat jikalau anda bernazar. Tidak disyaratkan berniat.
Disyaratkan untuk berniat ketika menyembelih binatang qurban jika penyembelihan dilakukan sendiri, atau jika diwakilkan seseorang untuk niatkan sewaktu penyembelih menyembelih binatang qurban.
HUKUM QURBAN BAGI PIHAK ORANG LAIN
Tak sah melaksanakan ibadah korban bagi pihak yang lain yang masih hidup tanpa izinnya. Situasi sama seperti pihak yang telah meninggal dunia dengan tiada berwasiat atau pesanan untuk melakukan qurban.
Jikalau qurban itu diwasiatkan oleh si mati, wajib disedekahkan kesemua bahagian binatang korban itu.
PERKARA SUNAT KETIKA IBADAH QURBAN
Bermula 1 Zulhijjah sehingga pengesahan ternakan korbannya disembelih, orang yang berkorban tidak digalakkan untuk memotong rambut dan kuku sehingga pelaksanaan ibadah qurban.
Semasa menyembelih, perkara disunatkan adalah:
- Membaca Bismillahirrohmanirrahim
- Berselawat ke atas Nabi S.A.W
- Menghadapkan binatang ke arah kiblat di atas rusuk kirinya
- Bertakbir sebelum membaca Bismillah dan selepasnya.
- Membaca doa : Maksudnya: “Ini adalah nikmat daripada Mu dan aku mendekatkan diri kepadaMu dengannya.”
Sebaiknya ibadah ini dilakukan sendiri tetapi harus diwakilkan kepada orang lain.
HUKUM DAGING IBADAH QURBAN
- Qurban yang wajib iaitu dinazarkan, wajiblah disedekahkan kesemuanya dan orang yang berqurban tidak boleh memakannya.
- Lain pula jikalau orang itu melakukan qurban sunat di mana afdhal dia memakan beberapa suap sebagai mengambil berkat.
- Ada sebahagian ulama berpendapat daging qurban dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 1/3 disedekahkan mentah, 1/3 daging dimasak dan dibuat jamuan dan 1/3 dimakan oleh orang yang berqurban.
- Tetapi lebih afdhal untuk disedekahkan kesemuanya sekali kecuali menjamahnya sedikit untuk mengambil berkat.
- Bahagian kulit binatang korban pula, dibolehkan untuk bersedekah kepada yang lain atau untuk kegunaan sendiri. Melainkan jika itu qurban nazar, wajib baginya untuk menyedekahkan semua sekali.

No comments:
Post a Comment